LONDON: Penyerang Arsenal, Robin van Persie mengkritik beberapa rakan Inggerisnya kerana corak kehidupan berfoya-foya dan berparti sekali gus mempersoalkan sama ada Gunners boleh memenangi Liga Perdana Inggeris musim depan.
Kata-kata penyerang Belanda itu pasti tidak disenangi pengurus Arsenal, Arsene Wenger ketika beliau cuba membangunkan semula skuadnya selepas kempen gagal yang menyaksikan mereka gagal memenangi sebarang trofi sejak Piala FA 2005.
Van Persie menolak cadangan sama ada wang atau gaya kehidupan cukup untuk membuatkannya gembira, namun jelas mempersoalkan sama ada pemain muda Inggeris berkongsi falsafah sama dengannya.
“Pemain utama tidak diperbodohkan oleh kekayaan atau kemasyhuran kerana mereka amat fokus dengan bola sepak,” katanya.
“Bagi saya, amat penting untuk bersarapan setiap pagi dengan dua anak saya dan ia tidak mungkin berlaku sekiranya anda sering berada di disko sepanjang malam.
“Apabila saya melihat beberapa rakan Inggeris yang masih berfoya-foya hingga jam 3 pagi, saya boleh rumuskan karier mereka akan tamat pada usia 33 tahun.” Bagi prospek Arsenal memenangi kejuaraan, Van Persie kelihatan agak ragu-ragu selepas Gunners sekali lagi gagal mencabar musim lalu, sekalipun berada pada landasan terbaik hingga suku ketiga musim.
“Setiap tahun ia mengecewakan,” kata Van Persie. “Apabila anda lihat keputusan musim lalu, Arsenal tidak patut bercakap mengenai memenangi liga kerana terlalu banyak benda yang tidak menjadi.
“Kadang-kadang anda perlu menerima hakikat kebenaran. Namun, saya percaya dengan pembelian beberapa muka baru, musim depan kami patut berada di sana bersaing merebut trofi.” - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan