|
|
LONDON – Sekalipun keberatan, Arsenal sedia menjual Cesc Fabregas pada harga 35 juta pound (RM175 juta).
Arsene Wenger dijangka tidak menghalang pemergian pemain Sepanyol itu kali ini selepas pada musim lalu pernah memujuknya supaya tidak meninggalkan pasukan untuk menyertai kelab kesayangannya, Barcelona.
Sumber dalaman Arsenal percaya musim ini merupakan yang terakhir buat Fabregas di Emirates meskipun kontraknya bernilai 120,000 seminggu masih berbaki empat tahun.
Pemain antarabangsa Sepanyol itu jelas tidak gembira dengan kegagalan kelabnya menjulang sebarang trofi sejak 2005.
Pengurusnya, Wenger sedar betapa mustahil untuk dia mempunyai alasan lain untuk menyakinkan pemain bercita-cita tinggi seperti Fabregas, 23, menetap di London Utara.
Fabregas dilaporkan kecewa selepas Arsenal menolak tawaran 29 juta pound daripada Barcelona musim lalu.
Wenger meminta dia memberikan peluang terakhir untuk membuktikan kemampuannya membimbing skuad muda Arsenal ke arah kejayaan, tetapi sekali lagi menemui kegagalan.
Sumber kelab berkata, Fabregas merasakan dia telah melakukan yang terdaya untuk Arsenal.
“Dia bersama pasukan ini selama lapan tahun dan percaya dirinya telah mempamerkan tahap kesetiaan yang tinggi.
“Pasukan ini sekali lagi menamatkan cabaran dengan tangan kosong dan dia khuatir situasi sama tidak akan berubah,” ujar sumber itu.
Arsenal mahukan sekurang-kurangnya 35 juta pound untuk pemain tonggak yang dibeli hanya 500,000 pound dari akademi remaja Barcelona pada 2003.
Namun, permintaan harga itu mungkin menidakkan impian Fabregas kerana Barcelona keberatan meningkatkan bidaan harga tahun lalu untuk seorang pemain yang tidak dipastikan akan diturunkan dalam kesebelasan utama secara automatik.
Real Madrid dilaporkan juga berminat, namun Fabregas lebih gemar kembali ke kelab asalnya. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan